Isnin, 18 Mei 2020 | 3:05pm
 Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto hiasan NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto hiasan NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Hakim tarik diri dengar kes rasuah Tengku Adnan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan supaya hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor disebabkan wujud bahaya yang beliau mungkin bersikap berat sebelah.

Dalam penghakiman 14 muka surat bertarikh 15 Mei, Hakim Datuk Rhodzariah Bujang berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mungkin bersikap berat sebelah walaupun beliau telah membuat deklarasi bahawa beliau tidak akan bersikap prejudis terhadap Tengku Adnan selepas menghakimi kes ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon.

"Kami berpandangan bahawa bahaya yang beliau (hakim) akan bersikap demikian wujud dan boleh berlaku.

"Ini adalah kerana beliau atau mana-mana hakim yang mendengar sesuatu kes, bukan sahaja perlu meneliti tetapi juga pertimbangkan fakta kes serta eksibit dokumen dikemukakan untuk menyokong pengakuan Tan bahawa beliau telah menawarkan rasuah kepada perayu (Tengku Adnan) yang diterima, berupaya untuk melenyapkan fakta penting ini sepenuhnya daripada mindanya," kata Hakim Rhodzariah.

Beliau, bagaimanapun berkata mahkamah tidak sesekali mempersoalkan integriti Hakim Mohd Nazlan atau keupayaan beliau untuk membuat keputusan dalam kes Tengku Adnan berdasarkan keterangan yang dikemukakan di hadapannya.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto BERNAMA

Hakim Rhodzariah berkata, mahkamah juga sedar bahawa keterangan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak akan tertakluk untuk pemeriksaan balas dan akan diberikan penilaian maksimum oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Bahaya yang wujud adalah apabila hakim menerima pengakuan bersalah Eng Boon yang pada pandangan mahkamah tidak boleh diketepikan.

"Dalam perkataan lain, kemungkinan wujud keadaan berat sebelah sedemikian tidak boleh diketepikan, dengan kebarangkalian itu ada," katanya.

Memetik kata-kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tun Abdul Hamid Mohamed dalam kes Datuk Tan Heng Chew lawan Tan Kim Hor pada 2006, Hakim Rhodzariah berkata rayuan Tengku Adnan dibenarkan untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap badan kehakiman pada tahap tertinggi.

Pada 12 Februari tahun ini, panel hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Hakim Rhodzariah dan Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan Tengku Adnan agar Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang sedang dihadapinya.

Tengku Adnan merayu ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan pada 20 September tahun lalu yang menolak permohonan beliau (Tengku Adnan) untuk hakim (Mohd Nazlan) menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya.

Pada 17 September tahun lalu, Hakim Mohd Nazlan mengenakan denda RM1.5 juta atau 12 bulan penjara jika gagal membayar denda itu terhadap Eng Boon selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dengan Tengku Adnan selepas satu persetujuan dicapai antara Eng Boon dan pendakwaan.

Ahli Parlimen Putrajaya (Tengku Adnan, 69) menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada Eng Boon yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank beliau sebagai dorongan untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd untuk menambah nisbah keluasan tanah untuk syarikat itu berhubung projek pembangunan di Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu dalam kapasitinya sebagai menteri wilayah persekutuan telah menerima RM1 juta untuk dirinya daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB beliau, sedangkan beliau tahu bahawa Eng Boon, sebagai pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd, mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan masih menunggu untuk pendengaran di Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

Berita Harian X