Rabu, 20 Mei 2020 | 12:12pm
Kesan darah pada dinding kedai dipercayai kesan tumbukan suspek terhadap majikannya dalam kejadian samun di kedai menjual pakaian jenis jeans dan kulit di Langkawi Mall, Langkawi. NSTP/IHSAN POLIS
Kesan darah pada dinding kedai dipercayai kesan tumbukan suspek terhadap majikannya dalam kejadian samun di kedai menjual pakaian jenis jeans dan kulit di Langkawi Mall, Langkawi. NSTP/IHSAN POLIS

Samun majikan pada hari pertama bekerja

LANGKAWI: Polis sedang memburu suspek yang menyamun majikannya hanya selepas sembilan jam bekerja di Langkawi Mall di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, suspek berusia 40-an dipercayai merancang menyamun premis menjual pakaian jeans dan kulit itu pada hari pertama dia bekerja.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan dijalankan susulan laporan dibuat adik mangsa tengah malam tadi.

Katanya, mangsa yang juga peniaga berusia 55 tahun patah tulang hidung dan retak tulang rahang akibat ditumbuk suspek.

"Suspek berjumpa mangsa pada 10 pagi semalam meminta kerja, seterusnya dia diterima bekerja sebagai pembantu kedai tanpa mengambil butiran peribadi.

"Suspek dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter dan bermuka cekung dilaporkan memakai pelitup muka sepanjang bekerja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, peniaga terbabit dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM5,000 selepas wang hasil jualan dilarikan suspek.

"Mangsa yang mengalami patah tulang hidung dan retak tulang rahang kini dirawat di Hospital Sultanah Maliha di sini.

"Lokasi kejadian mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), bagaimanapun tiada saksi jelas yang melihat kejadian," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Berita Harian X