Rabu, 20 Mei 2020 | 2:58pm
D Vasuthevan (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan iaitu menceroboh dan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita. - NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
D Vasuthevan (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan iaitu menceroboh dan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita. - NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Penggangur didakwa ceroboh, cuba cabul jiran

KUALA KANGSAR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan iaitu menceroboh dan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita yang juga jirannya, minggu lalu.

D Vasuthevan, 34, bagaimanapun mengakui tidak memahami bahasa Melayu menyebabkan hakim, Rohaida Ishak menetapkan 2 Jun depan untuk pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Sungai Siput dengan kehadiran jurubahasa Tamil.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menceroboh masuk rumah wanita berusia 57 tahun itu tanpa kebenaran dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang di Ladang Kamiri, Sungai Siput jam 1.30 pagi pada 12 Mei lalu.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh pada waktu dan lokasi sama didapati menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita itu dengan niat mencabul kehormatannya.

Bagi pertuduhan pertama, kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, jika didapati bersalah dia boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Rohaida bagaimanapun tidak membenarkan jaminan dan menetapkan tertuduh dibawa ke Penjara Taiping sementara menunggu sebutan semula kes.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata tertuduh yang tidak bekerja dan mangsa berjiran dan saling mengenali sejak sekian lama.

Kataya, mangsa yang ketika kejadian hanya berseorangan di rumah sedang tidur sebelum suspek memasuki rumah berkenaan dan menuju ke biliknya.

Berita Harian X