Rabu, 20 Mei 2020 | 5:37pm
Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk hujahan lisan membabitkan kes rasuah berjumlah RM 3 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin
Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk hujahan lisan membabitkan kes rasuah berjumlah RM 3 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Nasib Isa Samad 16 Jun ini

KUALA LUMPUR: Selepas memanggil seramai 22 saksi, bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan mengetahui nasibnya sama ada dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah dan rasuah berjumlah RM3 juta, pada 16 Jun ini.

Hakim Mahkamah Tingi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dan peguam, Datuk Salehuddin Saidin, yang mewakili Mohd Isa, di sini, hari ini.

Terdahulu pada prosiding itu, Salehuddin dalam hujahannya memberitahu mahkamah keterangan saksi pendakwaan ke-21 (SP21), bekas pegawai khas Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip adalah tidak benar dan berdasarkan pada andaian.

"SP21 adalah saksi yang tidak berkredibiliti kerana keterangannya mengenai bagaimana beliau menerima duit daripada saksi pendakwaan ke-16, bekas Pengarah Urusan Gagasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, adalah tidak munasabah selain tiada catatan dibuat apabila menerima wang berkenaan," katanya.

Sementara itu, Afzainizam dalam hujahan, berkata SP21 hanya melaksanakan arahan yang disuruh oleh ketuanya (Mohd Isa).

Tambahnya, Mohd Isa melangkaui mandat yang ditetapkan FELDA kerana setiap projek dikendalikan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) melebihi RM100 juta perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Pengarah FELDA, sekiranya ia tidak dipatuhi, keputusan yang dibuat dikira tidak memenuhi syarat.

"Saksi pendakwaan ke-15, bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil ada menasihati tertuduh mengenai mandat tersebut, namun Mohd Isa memaklumkan kepadanya bahawa urusan berkenaan tidak perlu dibawa kepada Lembaga Pengarah FELDA," katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada 14 Januari lalu, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 15 hari perbicaraan.

Berita Harian X