Jumaat, 22 Mei 2020 | 11:37am
Tinjauan harga ayam segar di Pasar Borong Selangor. - Foto hiasan NSTP/Hazreen Mohamad
Tinjauan harga ayam segar di Pasar Borong Selangor. - Foto hiasan NSTP/Hazreen Mohamad

Peniaga ayam yang terawal dikompaun RM2,500

KUALA BERANG: Seorang peniaga ayam di sebuah pasar di Kuala Lumpur antara yang terawal dikompaun RM2,500 sejak pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula kelmarin.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata peniaga terbabit dikompaun kerana menjual pada harga yang lebih tinggi daripada harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM9 berbanding RM7.50 sekilogram.

"Pegawai kita pergi siasat dan memang betul sebagaimana aduan yang dibuat, jadi kita terus kompaun.

"Setakat ini (semalam), tiga aduan berkaitan harga ayam diterima antaranya di Pulau Pinang dan Putrajaya.

"Kita akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap harga ayam di pasaran," katanya selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di Pasaraya Sabasun di Ajil, di sini, semalam.

Rosol berkata, sebanyak 2,437 premis perniagaan merangkumi 65 premis borong, 2,372 premis runcit diperiksa di seluruh negara pada hari pertama pelaksanaan SHMMP.

Sebanyak 513 premis diperiksa iaitu membabitkan 27 ladang, 52 pembekal dan 434 peruncit yang menjual ayam sehingga 18 Mei lalu.

"Kita mengeluarkan sebanyak 386 notis kepada peniaga ayam mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Siasatan awal mendapati kenaikan harga jualan ayam yang berlaku dipengaruhi faktor kenaikan kos oleh pembekal serta peladang dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut mengenainya," katanya.

Berita Harian X