Jumaat, 22 Mei 2020 | 12:42pm

Remaja Rohingya didakwa bunuh anak tiri

AMPANG: Seorang remaja etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh anak tirinya yang berusia enam tahun.

Isterinya yang juga etnik Rohingya dan pemegang kad sama, pula mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan cuai dan mengabaikan anak perempuannya itu.

Remaja lelaki berusia 17 tahun itu, didakwa membunuh mangsa dalam bilik Hotel New Wave dekat Jalan Memanda 5, pada jam 12.01 tengah malam sehingga jam 1.30 pagi, pada 11 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang diwakili peguam bela, Svetlana Nordin, kerana kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa.

Majistret Normaizan Rahim kemudian menetapkan pada 1 September depan bagi sebutan untuk mendapatkan laporan kimia dan forensik.

Sementara itu, ibu mangsa berusia 23 tahun pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan cuai mengabaikan anaknya dengan cara mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan boleh dihukum mengikut akta sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dengan alasan kes itu serius dan tidak boleh dijamin.

Hakim Azrul Darus kemudian tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 2 Julai ini.

Pada 11 Mei lalu, mayat kanak-kanak perempuan warga asing ditemukan di depan kedai makan sebuah pusat beli-belah di Ampang dalam keadaan terbaring serta masih berpakaian lengkap.

Menerusi pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati, terdapat kesan lebam pada beberapa bahagian badan termasuk lengan dipercayai akibat dipukul.

Remaja lelaki Rohingya (kanan) didakwa membunuh anak tirinya yang berusia enam tahun, manakala isterinya (kiri) didakwa mengabaikan mangsa yang juga anak kandung ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, Pandan Indah, pagi ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Remaja lelaki Rohingya (kanan) didakwa membunuh anak tirinya yang berusia enam tahun, manakala isterinya (kiri) didakwa mengabaikan mangsa yang juga anak kandung ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, Pandan Indah, pagi ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X