Sabtu, 23 Mei 2020 | 7:55pm
Tam Ah King, 80, ditemui mati dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan senjata jenis senapang patah. Gambar hiasan
Tam Ah King, 80, ditemui mati dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan senjata jenis senapang patah. Gambar hiasan

Warga emas mati tertembak diri sendiri

PORT DICKSON: Senjata makan tuan, itulah yang berlaku kepada seorang warga emas yang dijumpai mati akibat tertembak diri sendiri dalam bilik di rumahnya di Taman Air Kuning, Linggi di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata dalam kejadian jam 12.30 tengah malam tadi, mangsa, Tam Ah King, 80, ditemui mati dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan senjata jenis senapang patah.

"Sepasukan polis yang menerima laporan daripada anak mangsa pergi ke tempat kejadian dan mendapati warga emas itu dalam keadaan terbaring di atas katil.

"Turut ditemui selaras senapang patah miliknya berada di tepi si mati dan sebatang tongkat di atas lantai," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan lanjut pasukan forensik hospital dan pihak polis di tempat kejadian, menjumpai kelongsong peluru jenis 12 bore di bahagian bawah katil mangsa.

"Siasatan juga mendapati terdapat kesan pecah pada cermin tingkap bilik berkenaan dipercayai daripada bearing peluru yang digunakan, menembusi belakang badan mangsa akibat tembakan jarak dekat di bahagian dada.

"Siasatan di tempat kejadian juga tidak menjumpai sebarang perlakuan atau sebarang unsur jenayah," katanya.

Aidi Sham berkata, mangsa memiliki lesen senjata api yang masih sah bagi tujuan penggunaan musuh tanaman.

"Senjata yang digunakan adalah jenis 'Benelli Armi. Bedah siasat dijalankan di bilik mayat HPD pada 3.30 petang tadi dan mengesahkan sebab kematian mangsa adalah luka tembakan di dada dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X