Ahad, 24 Mei 2020 | 5:37pm
Amir Adham Abdul Wahab maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 2, Jalan Jerantut - Maran berhampiran persimpangan lampu isyarat Tok Gajah. - Foto Roselan Ab Malek
Amir Adham Abdul Wahab maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 2, Jalan Jerantut - Maran berhampiran persimpangan lampu isyarat Tok Gajah. - Foto Roselan Ab Malek

Ibu tunggu nasi, lauk raya

JERANTUT: Hasrat seorang pemuda untuk menghantar nasi dan lauk raya kepada ibunya pagi tadi tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 2, Jalan Jerantut - Maran berhampiran persimpangan lampu isyarat Tok Gajah.

Amir Adham Abdul Wahab, 21, menunggang motosikal untuk menghantar rakannya, Nur Anira Nazari, 20, yang bekerja di sebuah pasar raya apabila motosikalnya terbabas.

Nur Anira turut maut dalam kejadian jam 9.45 pagi itu.

Bapa mangsa, Abdul Wahab Derani, 62, berkata anak bongsu daripada empat beradik itu keluar dari rumah pagi tadi.

"Dia ada menyatakan hasrat untuk menghantar nasi dan lauk raya dan mahu beraya dengan ibunya yang tinggal di Taman Saujana Putra kira-kira jam 7 pagi tadi.

"Saya tunggu arwah Amir balik, sehinggalah saya dimaklumkan oleh kenalan arwah mengenai kejadian itu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jerantut.

Rakannya, Faizal Abdullah, 21, berkata dia berbual malam tadi di rumah arwah dan dia menyatakan rasa rindu kepada ibunya dan khuatir mungkin tidak sempat beraya bersama ibunya hari ini.

"Saya pergi ke rumah arwah dan berbual hampir dua jam, kami berbincang macam mana nak solat sunat Aidilfitri kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan bersolat di masjid. Dia menyatakan perasaan sangat rindu kepada ibunya," katanya.

Sementara itu, ibu arwah, Azizi Othman, 58, berkata dia dimaklumkan oleh anaknya itu mahu menghantar nasi dan lauk raya ke rumahnya tetapi tidak tiba sehingga dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Berita Harian X