X
Ahad, 24 Mei 2020 | 6:10pm
Lokasi kebakaran membabitkan lima mangsa rentung di Kampung Binsuluk, Membakut. - Foto Juwan Riduan
Lokasi kebakaran membabitkan lima mangsa rentung di Kampung Binsuluk, Membakut. - Foto Juwan Riduan

'Perlahan-lahan, suara mereka tak lagi kedengaran'

MEMBAKUT: Jeritan isteri dan anak-anak dalam api yang marak sebelum beransur-ansur menghilang menjadi kisah 1 Syawal paling memilukan buat Othman Ali, 64.

"Saya terbangun apabila terdengar suara isteri dan anak menjerit meminta kami keluar menyelamatkan diri kerana rumah terbakar.

"Saya cuba membantu tetapi gagal kerana api marak sebelum suara mereka tidak lagi kedengaran," katanya.

Isterinya, Aishah Awang Jumat, 58, terkorban selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, di sini, awal pagi tadi.

Turut maut, empat anak pasangan itu, Dzulkarnain, 34; Dzulnisham, 27; Rozaini, 26; dan Rosdi, 24.

Seorang lagi anak dan menantu berusia 29 dan 25 tahun melecur di kaki dan dirawat di Hospital Beaufort.

Othman dan seorang lagi anak lelakinya berusia 31 tahun selamat.

Menceritakan kejadian itu, Othman berada di bilik di tingkat bawah yang dijadikan pejabat manakala isterinya menyiapkan juadah untuk menyambut hari raya.

"Saya terlelap ketika berada di bilik pejabat sebelum terjaga apabila mendengar jeritan isteri dan anak meminta kami menyelamatkan diri.

"Saya bangun dan cuba menyelamatkan mereka kerana masih dapat mendengar suara isteri dan anak.

"Ketika cuba membuka bilik, suara isteri dan anak sudah tidak kedengaran. Saya cuba memadamkan api namun kebakaran terus marak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, katanya, isterinya bersungguh-sungguh memasak untuk juadah keluarga yang bakal datang sempena Aidilfitri.

"Saya menyedari isteri amat mengambil berat perihal saya dan anak-anak sejak beberapa hari lalu.

"Rupa-rupanya itu petanda kisah sedih kami di pagi 1 Syawal.

"Berat dugaan ini, namun ini ujian Allah dan saya terima qada dan qadar," katanya.

Sementara itu, adik Aishah, Matsetia Awang Jumat, 40, menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh beberapa jiran yang memberitahu rumah kakaknya terbakar.

"Saya dan keluarga bergegas ke lokasi kejadian namun ketika kami sampai, rumahnya sudah musnah dan mendapat tahu kakak bersama empat anaknya terkorban.

"Saya dan adik-beradik lain sepatutnya menziarahi rumah kakak pagi ini untuk beraya kerana sudah dua bulan tidak bertemu," katanya.

Berita Harian X