X
Ahad, 24 Mei 2020 | 8:25pm
 Mohamad (baju merah) melawat keluarga mangsa di Kampung Binsuluk, Membakut, hari ini. - Foto IHSAN PEMBACA
Mohamad (baju merah) melawat keluarga mangsa di Kampung Binsuluk, Membakut, hari ini. - Foto IHSAN PEMBACA

Masalah pendawaian punca kebakaran?

MEMBAKUT: Kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Binsuluk, di sini dan mengorbankan lima beranak, dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik atau dapur memasak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata siasatan masih dijalankan termasuk menunggu laporan lengkap berhubung pemeriksaan di lokasi kejadian.

Katanya, laporan dijangka siap dalam tempoh terdekat.

"Kita masih menunggu laporan lengkap pegawai di lokasi.

"Bagaimanapun, biasanya kebakaran seperti kejadian itu berkemungkinan berpunca dari dapur atau masalah pendawaian elektrik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aishah Awang Jumat, 58, bersama empat anak lelakinya iaitu Dzulkarnain Othman, 34; Dzulnisham, 27; Rozaini, 26; dan Rosdi, 24; ditemui rentung dalam kejadian pagi tadi.

Bomba menerima panggilan jam 2.54 pagi sebelum kebakaran dapat dikawal pada jam 5 pagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, berkesempatan melawat ahli keluarga mangsa di Kampung Binsuluk, petang tadi.

Beliau melahirkan simpati terhadap keluarga mangsa dan turut menghulurkan bantuan kilat termasuk sumbangan kewangan.

Berita Harian X