X
Ahad, 24 Mei 2020 | 11:14pm

PKPB: Tiada majlis perkahwinan di kuil di Seri Kembangan

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat penularan satu rakaman video yang didakwa menunjukkan sekumpulan individu berhimpun di sebuah kuil untuk upacara perkahwinan di Seri Kembangan, Serdang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata tinjauan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Seri Kembangan mendapati tiada aktiviti dijalankan di kuil terbabit.

"Penjaga kuil yang disoal siasat mendakwa upacara berkenaan bukan berlangsung hari ini dan tiada upacara atau perkahwinan diadakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

"Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan bagi mengesan bagaimana video terbabit boleh tersebar.

"Kita akan terus memantau rumah ibadat bagi mengekang dan menyekat penularan wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebuah portal berita melaporkan, hampir 100 penganut agama Hindu didakwa berhimpun di kuil terbabit dipercayai bagi upacara perkahwinan.

Satu rakaman video turut dimuat naik dalam laporan portal berita berkenaan.

Kerajaan melarang sebarang perhimpunan termasuk di rumah ibadat berikutan pelaksanaan PKPB bagi membendung COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X