Isnin, 25 Mei 2020 | 10:42am

Polis cedera dilanggar mat rempit

KANGAR: Seorang anggota polis cedera di dahi dan perut akibat dilanggar remaja yang cuba melarikan diri kerana berhimpun menyaksikan lumba haram di Jalan Kuala Perlis - Changlun dekat Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis malam tadi.

Remaja berusia 18 tahun itu adalah antara 45 individu berusia 16 hingga 21 tahun yang ditahan polis dalam satu operasi khas bermula jam 7 malam selepas didapati berhimpun selain menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis, Asisten Superintendan Mohd Rizal Emran, berkata remaja berkenaan yang terkejut dengan kepungan polis bergegas menghidupkan enjin motosikal dan melanggar anggota polis walaupun sudah diberi amaran untuk tidak berbuat demikian.

"Dia yang ketika itu menjadi penonton di bahu jalan bersama rakan pembonceng memberikan alasan terlepas cekam (clutch) motosikal jenis Honda RS150 ditunggangnya sehingga melanggar anggota polis.

"Namun alasan itu tidak munasabah kerana ramai orang awam dan anggota polis yang menyaksikan kejadian itu," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan tamat tengah malam tadi.

Mohd Rizal berkata, anggota terbabit dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan.

Dalam operasi sama, suami isteri masing-masing berusia 18 tahun ditahan kali kedua selepas didapati berhimpun bagi menyaksikan aksi lumba haram.

"Sebelum ini, pasangan terbabit pernah ditahan dalam satu serbuan di Jalan Sungai Batu Pahat, malah pada serbuan itu juga mereka hanya berkumpul bagi menyaksikan lumba haram.

"Tetapi mereka masih tidak serik meskipun si isteri sedang hamil empat bulan," katanya.

Dalam operasi itu yang tamat jam 11.30 malam tadi, 71 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain tiga motosikal disita kerana didapati digunakan untuk berlumba.

Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap tiga remaja berusia 18 tahun hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) dan 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis menahan 45 individu berusia 16 hingga 21 tahun kerana berhimpun dan menunggang motosikal secara melulu di Jalan Kuala Perlis-Changlun malam tadi. - Foto NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Polis menahan 45 individu berusia 16 hingga 21 tahun kerana berhimpun dan menunggang motosikal secara melulu di Jalan Kuala Perlis-Changlun malam tadi. - Foto NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Berita Harian X