Isnin, 25 Mei 2020 | 2:03pm
SEBAHAGIAN orang ramai yang didakwa hadir ke upacara perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Serdang, semalam. -Foto ihsan pembaca.
SEBAHAGIAN orang ramai yang didakwa hadir ke upacara perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Serdang, semalam. -Foto ihsan pembaca.

PKPB: Sah ada upacara perkahwinan di kuil semalam - Polis

KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu berhimpun di sebuah kuil Hindu untuk upacara perkahwinan di Seri Kembangan, Serdang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata siasatan lanjut polis mendapati memang terdapat satu upacara perkahwinan dijalankan di kuil berkenaan seperti dalam rakaman video yang tersebar.

Hasil soal siasat lanjut polis terhadap pengurusan kuil itu di Jalan SR 5/3 Serdang Raya, Seri Kembangan mendapati mereka akhirnya mengakui ada menjalankan upacara berkenaan.

"Pada mulanya pihak pengurusan kuil menafikan perkara itu namun hasil siasatan lanjut yang dijalankan, mereka akhirnya mengakui memang ada berlangsung perkahwinan itu semalam pada jam 10 pagi dengan kehadiran antara 20 hingga 30 individu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020 dan usaha mengesan semua suspek sedang dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Siasatan berhubung perkara itu juga dijalankan susulan dua laporan polis yang diterima daripada seorang wartawan portal berita yang menulis satu artikel berhubung kejadian itu dan disiarkan dalam laman sesawang portal berkenaan.

"Mangsa yang berusia 41 tahun mendakwa beberapa gambar peribadinya disebarkan melalui beberapa medium kumpulan WhatsApp susulan pendedahan yang dibuatnya melalui artikel berkenaan yang disiarkan di portal berita berkenaan pada jam 12 tengah hari semalam.

"Video berkenaan diambil sendiri mangsa ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja. Dia kini risau akan keselamatan dirinya dan minta kita menyiasat perkara itu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya.

Selain itu, katanya orang ramai diminta bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang komen yang boleh memecah keamanan dan mendatangkan kegusaran awam selain terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Semalam, satu portal berita melaporkan hampir 100 penganut Hindu berhimpun di kuil terbabit dipercayai bagi upacara perkahwinan.

Satu rakaman video berhubung perkara itu turut dimuat naik dalam laporan portal berita berkenaan.

Kerajaan sebelum ini melarang sebarang perhimpunan termasuk di rumah ibadat berikutan pelaksanaan PKPB bagi membendung COVID-19.

Berita Harian X