Isnin, 25 Mei 2020 | 10:44pm
PUTERI Nor Farisha Damia dirawat di HSNZ selepas mengalami keracunan makanan dipercayai akibat makan puding buih. - NSTP/FOTO IHSAN KELUARGA
PUTERI Nor Farisha Damia dirawat di HSNZ selepas mengalami keracunan makanan dipercayai akibat makan puding buih. - NSTP/FOTO IHSAN KELUARGA

48 keracunan makanan dipercayai akibat puding buih

KUALA TERENGGANU: Seramai 48 orang dilaporkan mengalami keracunan makanan dipercayai akibat menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian sejak Jumaat lalu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata bilangan mangsa terbabit adalah setakat jam 12 tengah hari tadi.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 20 mangsa telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, termasuk seorang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan keadaannya dilaporkan stabil.

"Empat lagi dimasukkan ke hospital swasta, manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar. Majoriti pesakit telah mengalami sakit perut dan cirit-birit.

"Kita masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan ini dan pesakit lain yang mungkin turut terdedah," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, seorang murid Tahun Lima, Puteri Nor Farisha Damia Mohd Faizul, 11, bersama lima sepupunya yang mengalami sakit perut dan muntah dipercayai selepas makan puding buih ketika berbuka puasa pada hari terakhir Ramadan, terpaksa menyambut Aidilfitri di HSNZ.

Bapa mangsa, Mohd Faizul Hamzah, 35, berkata anaknya itu mula sakit perut dan muntah kira-kira jam 5 pagi semalam, manakala lima sepupunya berusia enam hingga 20 tahun turut mengalami keadaan sama dipercayai selepas menikmati juadah terbabit.

Beliau berkata, anak saudaranya berusia 20 tahun membawa dua bekas puding buih yang dibeli untuk berbuka puasa, kelmarin, dan enam sepupu termasuk anaknya berkongsi makanan itu.

"Anak saudara mengalami muntah dan sakit perut, malam kelmarin, lalu mendapatkan rawatan di HSNZ dan dibenarkan pulang selepas menerima ubat, namun terpaksa ke hospital semula serta ditahan selepas keadaannya semakin serius.

"Anak mengalami nasib sama pada pagi Aidilfitri dan dia bersama sepupu bergilir-gilir berulang-alik ke tandas dengan pakaian raya.

"Melihat keadaan anak semakin lemah, saya membawa dia bersama dua sepupunya ke HSNZ pada tengah hari semalam, manakala dua lagi anak saudara ditahan di wad, pagi ini," katanya.

Mohd Faizul berkata, selain ahli keluarganya, ada beberapa individu lain turut menerima rawatan di HSNZ akibat keracunan makanan dipercayai kerana menikmati makanan sama.

"Penjual puding buih itu ada hubungi selepas salah seorang ahli keluarga saya memuat naik status mengenai perkara berkenaan dalam laman sosial Facebook.

"Dia meminta maaf dan mahu memulangkan semula duit tetapi saya cakap sedekahkan saja wang itu kepada masjid.

"Memang sedih sebab anak teruja mahu menyambut Hari Raya tetapi terpaksa beraya di hospital.

"Saya memaafkan penjual itu sebab dia bukan sengaja mahu racun orang, namun berharap kes ini dijadikan iktibar kepada peniaga lain supaya lebih berhati-hati," katanya.

Berita Harian X