Selasa, 26 Mei 2020 | 9:32am
Kemalangan maut membabitkan pemandu dipercayai mabuk di Jalan Pintasan Kuantan. - Foto ihsan Pembaca
Kemalangan maut membabitkan pemandu dipercayai mabuk di Jalan Pintasan Kuantan. - Foto ihsan Pembaca

Lelaki maut dirempuh pemandu mabuk, kereta melawan arus

KUANTAN: Seorang kakitangan Alam Flora maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol, di Jalan Pintasan Kuantan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata dalam kejadian jam 9.38 malam itu, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

"Kejadian berlaku apabila pemandu kenderaan jenis Toyota CHR yang berusia 42 tahun, datang dari arah Semambu memasuki laluan menghala ke Pelabuhan Kuantan secara melawan arus.

"Mangsa dalam perjalanan dari Sungai Isap Perdana, di sini menghala ke Depoh Alam Flora di Gebeng untuk bertugas syif malam, tiba di lokasi kejadian dia dilanggar secara tiba-tiba oleh suspek yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Noor berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk bedah siasat, manakala pemandu kenderaan jenis Toyota CHR yang cedera di bahagian kaki turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati suspek dipercayai memandu dalam keadaan mabuk selepas selesai mengambil minuman keras di rumah rakannya di Taman Andora Peak, Semambu.

"Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Berita Harian X