Rabu, 27 Mei 2020 | 7:17pm
Seorang daripada dua kanak-kanak yang ditemui lemas dalam kolam ikan sebuah tapak stor di Bandar Baru Air Putih, di Balik Pulau. - Foto PDRM
Seorang daripada dua kanak-kanak yang ditemui lemas dalam kolam ikan sebuah tapak stor di Bandar Baru Air Putih, di Balik Pulau. - Foto PDRM

Dua beradik 4, 5 tahun lemas di kolam ikan

BALIK PULAU: Kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia empat serta lima tahun, ditemui lemas selepas disedari hilang ketika bermain di kawasan kolam ikan sebuah tapak stor di Bandar Baru Air Putih di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.15 petang tadi.

Beliau berkata, pihaknya dihubungi bapa kanak-kanak malang yang dipercayai warga Indonesia itu, memberitahu dua anaknya terjatuh dalam kolam terbabit.

"Menerusi siasatan awal, ibu mangsa mendakwa anak perempuannya ditemui sudah terapung di dalam kolam yang tidak jauh dari rumah mereka.

"Bapa mangsa yang tiba sejurus kemudian turun ke kolam sedalam tiga meter bagi mendapatkan anak lelakinya," katanya kepada NSTP, hari ini.

Anbalagan berkata, kedua-dua mangsa yang didapati sudah meninggal dunia kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, " katanya.

Berita Harian X