Rabu, 27 Mei 2020 | 7:58pm

Pelakon cuba perdaya, pikat isteri ahli perniagaan ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lelaki berusia 24 tahun diberkas selepas disyaki memikat dan memperdaya isteri kepada seorang ahli perniagaan.

Pelakon berkenaan ditahan di Taman Sering Ukay, Ampang, Selangor, semalam selepas ahli perniagaan terbabit membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata pada awalnya pengadu yang juga ahli perniagaan terbabit mendapat tahu bahawa isterinya berhubung dengan suspek untuk mendapatkan sesuatu.

"Pengadu ini mendakwa suspek cuba memperdaya dan memikat isterinya untuk mendapatkan sesuatu.

"Berikutan itu, pihak polis kemudian melakukan tangkapan terhadap suspek yang juga seorang pelakon," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini suspek direman selama empat hari sehingga 30 Mei ini.

"Kita membuka dua kertas siasatan terhadap suspek iaitu Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas kesalahan memikat dan membawa pergi atau menahan seorang perempuan bersuami dengan niat jenayah dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu kelakuan aib," katanya.

Noor Azmi berkata, orang ramai dinasihatkan untuk memastikan maklumat sebenar sebelum sesuatu perkara mengenai kes seperti itu disebarkan dan hendaklah melalui sumber yang sah.

Berita Harian X