Rabu, 27 Mei 2020 | 10:38pm
Mangsa keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih, menunjukkan puding buih yang dibelinya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam. - Foto BERNAMA
Mangsa keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih, menunjukkan puding buih yang dibelinya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam. - Foto BERNAMA

25 lagi mangsa keracunan puding buih di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 25 lagi kes keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih dilaporkan di Terengganu.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa meningkat kepada 99 orang berbanding hanya 74 orang semalam membabitkan daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia membabitkan seramai 77 pesakit yang tinggal di Kuala Terengganu manakala 22 pesakit lagi di Marang.

Katanya, seramai 35 pesakit menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) termasuk seorang pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital swasta (10 orang) manakala 23 lagi pesakit menerima rawatan sebagai pesakit luar di beberapa klinik kerajaan dan klinik swasta.

"Bagaimanapun, 11 pesakit di HSNZ dan seorang pesakit di hospital swasta masing-masing sudah dibenarkan keluar hari ini.

"Semua pesakit di wad dilaporkan stabil kecuali pesakit di ICU yang dilaporkan berada dalam keadaan tenat.

"Selain itu, seramai 31 lagi mangsa keracunan dikesan namun simptom yang dialami mereka tidak memerlukan rawatan di hospital," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 48 individu mengalami keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu.

Nor Azimi sebelum ini berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sudah memeriksa premis peniaga terbabit dan pengambilan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu.

Katanya, sebanyak 11 ujian swab persekitaran, empat swab tangan dan empat sampel makanan juga diambil untuk tindakan lanjut.

"JKNT turut menutup dapur premis jualan peniaga puding buih berkenaan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari sehingga 7 Jun ini," katanya.

Berita Harian X