Rabu, 27 Mei 2020 | 10:56pm
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - Foto NSTP/ Faiz Anuar
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - Foto NSTP/ Faiz Anuar

Gangguan seksual terhadap ADUN wanita jenayah serius - MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, mengecam sekeras-kerasnya jenayah gangguan seksual terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita di Selangor.

Amirudin menerusi muat naik di Facebook berkata, gangguan diterima ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei, adalah satu bentuk jenayah serius dan tidak bertanggungjawab.

"Kedua-dua individu ini adalah ADUN Selangor dan pemimpin wanita muda yang cakna terhadap pembangunan golongan itu.

"Saya berharap mereka yang bersalah akan diberi hukuman setimpal dan yakin pihak berkuasa akan menyiasat serta mengambil tindakan," katanya.

Amirudin berkata, Selangor mengangkat martabat wanita sebagai pembuat keputusan dan penggubal dasar, selain sentiasa prihatin terhadap keselamatan mereka.

Beliau berharap kejadian tidak diingini itu dihentikan supaya wanita merasa selesa dan selamat untuk menyuarakan pendapat mereka dalam masyarakat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, mengesahkan menerima laporan daripada Jamaliah pada 22 Mei lalu.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara Yi Wei, yang turut mendakwa menerima gangguan seksual belum tampil membuat laporan polis.

Berita Harian X