Khamis, 28 Mei 2020 | 8:50am
Mohd menunjukkan gambar terakhir dia bersama tiga anak, Umar Iskandar, 21, (kanan) Khairil Firdaus, 17 (dua kiri) dan Khalif Naim, 16 (kiri) yang dirakam pada pagi Hari Raya Aidilfitri di rumahnya di Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu. - Foto NSTP/ZAID SALIM
Mohd menunjukkan gambar terakhir dia bersama tiga anak, Umar Iskandar, 21, (kanan) Khairil Firdaus, 17 (dua kiri) dan Khalif Naim, 16 (kiri) yang dirakam pada pagi Hari Raya Aidilfitri di rumahnya di Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu. - Foto NSTP/ZAID SALIM

"Mereka minta belikan baju Melayu sedondon"

HULU TERENGGANU: "Masih terlihat pandangan sayu Umar yang hingga kini bermain di ingatan," kata Mohd Ismail, 64, bapa kepada tiga beradik lelaki yang dikhuatiri lemas dalam kejadian di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Mohd yang juga pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, ketika berada di tebing sungai melihat pasukan keselamatan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR), dia mendakwa nampak bayangan anaknya, selain terdengar bisikan suara anak ketiganya.

"Dia (Umar) berkata dia sudah selamat dan selepas ini giliran abah pula," katanya.

Dalam kejadian semalam, tiga beradik lelaki; Khalif Naim,16, pelajar tingkatan empat Sekolah Imtiaz, Kuala Berang; Khairil Firdaus, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Agama Mahmudiah, Kuala Berang dan Umar Iskandar 21, yang juga penuntut di Universiti Malaya, masih belum ditemui.

Ketiga-tiga mereka masing-masing anak ketiga, kelima dan keenam, kematian ibu sejak 10 tahun lalu, tinggal bersama enam beradik lain dan bapa mereka kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

Mengimbas kembali peristiwa sebelum tragedi itu, Mohd berkata, ketiga-ketiganya meminta dia memeluk mereka. Tindakan spontan itu yang tidak pernah dianggap luar biasa, rupanya detik terakhir perpisahan mereka.

"Sebelum ini, mereka juga minta dibelikan baju Melayu sedondon dan mahu bergambar bersama.

"Saya anggap permintaan itu biasa kerana setiap kali sambutan Aidilfitri kami akan berbuat demikian selain saling berdakapan," katanya.

Mohd berkata, sebelum kejadian ketiga-tiga mereka membersihkan kawasan rumah sebelum didatangi sepupu yang tinggal di Alor Limbat, Bukit Payung membawa lemang dan bersembang di halaman rumah.

Katanya, selepas anak saudaranya pulang, dia kemudian ke masjid kampung berkenaan yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah pada jam 5.30 petang untuk membersihkan masjid, sebelum didatangi anak saudaranya sekitar jam 7 malam.

"Dia tidak memberitahu apa yang berlaku dan beranggapan kelapa saya kena curi lagi, berikutan sudah kerap kali kejadian itu berlaku. Namun, anggapan itu meleset kerana anak saudara membawa saya ke sungai di belakang rumah.

"Saya berasa pelik apabila dibawa ke sungai dan terkejut melihat ramai orang di sungai sebelum dia menunjukkan pakaian, selipar dan telefon bimbit milik anak di atas pasir di tebing sungai," katanya.

Beliau berkata, ketika itu dia sudah mengagak tiga anaknya lemas, namun dalam masa sama tertanya-tanya bagaimana kejadian itu berlaku kerana mereka tidak pernah mandi di sungai berkenaan, walaupun berhampiran dengan rumahnya.

Mohd berkata, dia reda dengan apa yang menimpa dan berdoa semoga usaha pasukan keselamatan mencari dan menyelamat tiga anaknya dipermudah dan mereka ditemui segera.

Berita Harian X