Khamis, 28 Mei 2020 | 5:57pm

Pelakon lelaki didakwa di mahkamah esok

KUALA LUMPUR: Pelakon lelaki yang ditangkap kerana disyaki memikat dan memperdaya isteri kepada seorang ahli perniagaan, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata suspek berusia 24 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

"Suspek dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pada jam 9 pagi esok.

"Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seksyen 498 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan pelakon terbabit diberkas kerana disyaki memikat dan memperdaya isteri kepada seorang ahli perniagaan.

Pelakon berkenaan ditahan di Taman Sering Ukay, Ampang, Selangor, kelmarin, dan direman empat hari hingga Sabtu ini.

Noor Azmi semalam dilaporkan berkata, pada awalnya, pengadu yang juga ahli perniagaan itu mendapat tahu bahawa isterinya keluar rumah tanpa izin dan suspek berhubung dengan wanita berkenaan untuk mendapatkan sesuatu.

"Kita membuka dua kertas siasatan terhadap suspek, iaitu Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas kesalahan memikat dan membawa pergi atau menahan seorang perempuan bersuami dengan niat jenayah, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, iaitu kelakuan aib," katanya.

Berita Harian X