Jumaat, 29 Mei 2020 | 2:50pm

Ambil pil gugurkan kandungan

BUKIT MERTAJAM: Seorang operator kilang warga Indonesia melahirkan bayi secara paksa dengan memakan pil menggugurkan kandungan dalam tandas asrama pekerja dekat Taman Belimbing, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, wanita berusia 20 tahun itu melahirkan bayi perempuan cukup sifat berusia 18 minggu seberat 700 gram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata wanita itu mengadu mengalami sakit perut yang kuat sebelum melahirkan bayi terbabit.

"Pemeriksaan petugas perubatan ke atas bayi yang dilahirkan mendapati dia sudah tidak bernyawa kerana tindakan wanita itu melahirkannya dengan menggugurkan kandungannya.

"Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan oleh pihak hospital," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, wanita itu turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Shafee berkata, siasatan ke atas wanita itu mendapati dia mengambil pil yang diberikan teman lelakinya untuk menggugurkan kandungannya.

"Pasangan itu belum berkahwin dan tidak bersedia menerima anak lalu mengambil keputusan untuk menggugurkannya.

"Wanita itu menelan pil pada jam 10 pagi sehari sebelum dia melahirkan bayi terbabit," katanya.

Shafee berkata, kejadian itu disedari rakan wanita itu yang bertindak menghubungi pihak hospital untuk tindakan lanjut.

"Polis kini dalam usaha mengesan teman lelaki wanita itu yang kini sudah melarikan diri," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 312 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X