Ahad, 31 Mei 2020 | 12:14am

COVID-19: Polis kompaun wanita berzumba

SUNGAI PETANI: Polis mengenakan kompaun ke atas 15 wanita yang berzumba selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata wanita berusia 25 sehingga 50 tahun itu didapati melakukan aktiviti itu ketika polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis di Taman Pekan Rabu pada 6.30 petang semalam.

"Pemeriksaan ke atas premis terbabit dilakukan sepasukan polis ketika membuat tugas rondaan cegah jenayah dan penguatkuasaan pemantauan PKPB.

"Semua mereka gagal memberi penjelasan yang munasabah terbabit atau menyertai dalam perhimpunan aktiviti sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, berikutan itu, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kesemua wanita terbabit mengaku berada di dalam premis berkenaan dan melakukan zumba.

"Mereka diterangkan kesalahan yang dilakukan dan dikeluarkan kompaun setiap seorang," katanya.

Beliau berkata, kesalahan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Berita Harian X