Ahad, 31 Mei 2020 | 11:22pm
SEMBILAN individu dikompaun kerana menyelam di perairan Miri tanpa kebenaran dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini. - Foto Norsyazwani Nasri
SEMBILAN individu dikompaun kerana menyelam di perairan Miri tanpa kebenaran dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini. - Foto Norsyazwani Nasri

9 dikompaun kerana menyelam ketika PKPB

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri menahan sembilan individu dalam sebuah bot kerana melakukan aktiviti menyelam di perairan daerah ini sekali gus ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten (M) Md Fauzi Othman, berkata sebuah bot dikesan menjalankan aktiviti rekreasi menyelam pada jarak kira-kira 12.7 batu nautika dari perairan Miri oleh bot ronda APMM.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan surat kebenaran untuk melakukan aktiviti menyelam terbabit.

"Sembilan individu terbabit dibawa ke balai polis untuk dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar PKPB)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

APMM mengingatkan agar semua komuniti maritim terutama pengusaha bot yang menjalankan aktiviti rekreasi seperti bot pemancing dan menyelam agar mematuhi PKPB yang sedang berkuat kuasa.

Semua aktiviti berkaitan pelancongan dan rekreasi hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada jabatan berkaitan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X