Isnin, 1 Jun 2020 | 11:11am

2 dituduh tetak remaja dengan parang panjang

JOHOR BAHRU: Seorang buruh kontrak dan pendawai elektrik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki, di pekan Kelapa Sawit, Kulai, dua minggu lalu.

Tertuduh, Lee Lok Heng, 19, dan Saw Ching Sean, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dengan masing-masing menggunakan parang panjang, iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di hadapan sebuah restoran di Jalan Kelapa Sawit 2, Pekan Kelapa Sawit, Kulai, kira-kira jam 11.50 malam, pada 13 Mei lalu.

Kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad manakala tertuduh diwakili peguam, Goh Sze Han dan Yup Che Kai.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 setiap tertuduh dengan alasan kesalahan mereka lakam adalah serius dan boleh menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, Sze Han berhujah kedua-dua anak guamnya itu sudah tidak bekerja lagi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping perlu menanggung keluarga masing-masing.

Hakim kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dijamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Lok Heng dan Ching Sean juga diperintahkan melapor diri masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai dan Balai Polis Air Bemban setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Julai ini.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X