X
Selasa, 2 Jun 2020 | 12:29pm
Mayat mangsa, Muhammed Junaidi, ditemui jam 3 petang semalam di Sungai Pertang, selepas dihanyutkan kepala air. - NSTP/Ihsan Bomba Raub
Mayat mangsa, Muhammed Junaidi, ditemui jam 3 petang semalam di Sungai Pertang, selepas dihanyutkan kepala air. - NSTP/Ihsan Bomba Raub

Dua lelaki lemas 'kepala air' hanyutkan pondok dusun

RAUB: Hujan lebat malam kelmarin, menghanyutkan dua pekerja warga Indonesia yang mendiami pondok dusun durian berhampiran Lata Berembun dekat Sungai Chalit di sini.

Kejadian itu menyebabkan seorang daripadanya ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang.

Ketua Polis Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, berkata nasib malang menimpa mangsa disedari pemilik dusun durian berkenaan jam 10.30 pagi apabila mendapati pondok yang terletak dalam kebun itu sudah tiada.

Beliau berkata, pekebun itu mendapati dua orang pekerjanya yang mendiami pondok berkenaan hilang selepas kawasan itu mengalami banjir akibat hujan lebat malam kelmarin.

Katanya, hujan lebat dipercayai mencetuskan "kepala air" melanda kebun pengadu berdasarkan kayu-kayu besar serta sampah yang terdampar di kawasan kebun.

"Sungai kecil di situ bertukar menjadi besar dan banyak tebing terhakis akibat kejadian itu.

"Pondok didiami pekerja yang dibina tepi anak sungai turut ranap dan dibawa arus deras," katanya.

Kama Azural berkata, pasukan mencari ditubuh membabitkan polis, bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung untuk mengesan kedudukan mangsa secara menyusur sepanjang sungai yang berakhir di Lembah Temir.

"Mayat mangsa, Muhammed Junaidi, 21, ditemui jam 3 petang semalam di Sungai Pertang, yang jaraknya dengan lokasi kejadian kira-kira empat kilometer.

"Mayat ditemui tanpa pakaian itu terdampar di atas beting pasir sungai dalam keadaan tertangkup dengan separuh badan tertimbus pasir sungai, sebelum dihantar ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.

"Operasi mencari dihentikan pada jam 5 petang semalam, manakala operasi mencari seorang lagi mangsa, Wahyudin, 25, disambung hari ini," katanya.

Berita Harian X