Selasa, 2 Jun 2020 | 6:10pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Arahan bagi kelulusan pinjaman SRC hanya cadangan - Peguam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa arahan dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk kelulusan pinjaman pertama RM2 bilion oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), hanyalah satu cadangan.

Peguam, Farhan Read yang mewakili Najib, berkata bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari, Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad, dalam keterangannya menyatakan beliau menerima tekanan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi penyediaan Jaminan Kerajaan untuk pinjaman itu.

Katanya, saksi menyatakan bahawa beliau diberi tekanan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan ketika itu, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, agar mempercepatkan dokumen terbabit bagi pinjaman RM2 bilion pada 2011 dan bukan didesak oleh Najib.

Beliau berkata, justeru tidak boleh dirumuskan bahawa Najib yang memberi tekanan bagi penyediaan dokumen berkenaan bagi pinjaman pertama oleh SRC.

Katanya, Artikel 116 Memorandum dan Artikel Persatuan (M & A) SRC yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk melantik Ahli Lembaga Pengarah tidak boleh secara langsung difahamkan bahawa Najib mempunyai kepentingan ke atas syarikat itu.

"Klausa ini adalah satu perkara biasa di dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan hala tuju syarikat adalah selari dengan kerajaan yang memerintah. Klausa ini mungkin ditambah dan Najib tidak mengetahuinya.

"Jika tertuduh tiada maklumat mengenai klausa yang dimasukkan dalam M & A itu, beliau tidak boleh dikatakan memiliki kepentingan hanya kerana diberikan kuasa yang langsung tidak diketahuinya," katanya.

Farhan yang mengemukakan hujahan di akhir kes pembelaan, turut membangkitkan isu berhubung kewibawaan keterangan saksi pendakwaan ke-56, iaitu bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Peguam itu berhujah, Ahmad Husni dalam keterangannya mendakwa Najib adalah dalang di sebalik tuduhan gangguan seksual yang dibuat terhadap beliau.

Farhan kemudian membacakan petikan pemeriksaan balas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, terhadap Ahmad Husni di mana saksi itu didakwa memberitahu Najib: "Saya akan dedahkan kamu."

Peguam itu berkata, ia adalah isu peribadi yang dikemukakan di mahkamah.

"Bolehkah kita mempercayai keterangan orang seperti ini? Adakah keterangan beliau boleh diambil dan dipercayai begitu saja?" soal Farhan.

Dalam isu lain, Farhan berkata, Ahmad Husni berhasrat pergi ke Switzerland untuk mendapatkan balik wang SRC, namun Lembaga Pengarah sudah ke sana terlebih dahulu tanpa beliau dan juga Najib.

Farhan berkata, tindakan tidak membenarkan Ahmad Husni ke sana bukan untuk menyembunyikan sesuatu, sebaliknya adalah lebih baik untuk syarikat itu mengambil tanggungjawab mendapatkan wang berkenaan dan bukannya Ahmad Husni.

Berita Harian X