X
Rabu, 3 Jun 2020 | 6:10pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Keterangan Najib tidak tahu jutaan ringgit masuk akaun hanya rekaan - Sithambaram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bukti bahawa Datuk Seri Najib Razak membelanjakan wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, termasuk membeli-belah RM2.3 juta di Itali, jelas menunjukkan beliau mengetahui ada wang yang banyak dipindah masuk ke dalam tiga akaun bank peribadinya.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, Datuk V Sithambaram, berkata penyata akaun bank tidak pernah 'disembunyikan' daripada Najib, sebaliknya bekas Perdana Menteri itu yang 'mengelakkan' diri daripada dokumen berkenaan.

Sithambaram yang mengemukakan hujahan di akhir kes pembelaan berkata, pendakwaan harus mengesan kronologi membawa kepada kemasukan wang itu dan sama ada tertuduh sepatut tahu mengenainya atau sekadar 'menutup mata'.

Beliau berkata, Najib sepanjang keterangan mengekalkan bahawa beliau tidak mengetahui kemasukan wang kerana tidak menguruskan akaun peribadinya.

"Apabila tertuduh diminta menjelaskan mengapa bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, tidak memaklumkan mengenai kemasukan RM27 juta dan RM5 juta ke dalam akaun pada 26 Disember 2014, beliau (Najib) tidak dapat memberikan alasan, sebaliknya berkata 'saya tidak tahu'.

"Ini memberikan bukti jelas bahawa tertuduh sendiri mendapati keterangannya tidak boleh dipercayai dan tidak berwibawa kerana gagal memberi jawapan yang memuaskan.

"Beliau bukan tertuduh biasa, sebaliknya seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu... Oleh itu, cubaan tertuduh untuk menunjukkan beliau tidak tahu mengenai wang berjuta ringgit dalam akaunnya adalah rekaan semata-mata dan keterangan itu hendaklah ditolak," katanya.

Berita Harian X