X
Rabu, 3 Jun 2020 | 8:59pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari Mahkamah Tinggi selepas pendengaran hujahan pendakwaan dan pembelaan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd hari ini. - Foto BERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari Mahkamah Tinggi selepas pendengaran hujahan pendakwaan dan pembelaan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd hari ini. - Foto BERNAMA

Pendakwaan selesai hujahan balas kes SRC

KUALA LUMPUR: Pendakwaan hari ini menutup hujahan di akhir kes pembelaan dengan memohon Mahkamah Tinggi mensabitkan Datuk Seri Najib Razak terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram dalam hujahannya berkata, pihak pendakwaan sudah menyentuh semua isu dibangkitkan ketika perbicaraan dan membuktikan kes terhadap Najib.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan menjawab hujahan balas pendakwaan esok, sebelum Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh bagi keputusan.

"Jika dilihat secara keseluruhan, ketujuh-tujuh tuduhan berjaya dibuktikan kepada tertuduh," katanya.

Terdahulu, Sithambaram dalam hujahannya, berkata ahli perniagaan dalam buruan, Low Tark Jho atau Jho Low mengetahui dengan terperinci perbelanjaan Najib dan mengambil langkah proaktif sebelum tertuduh mengeluarkan cek.

Beliau berkata, bukti menunjukkan bahawa Jho Low mengambil langkah untuk memastikan ada dana mencukupi dalam akaun peribadi Najib setiap masa.

Sithambaram kemudian membacakan petikan pemeriksaan balas Najib yang menunjukkan koordinasi di antara Jho Low dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias bagi pihak tertuduh dan di antara Jho Low serta Najib sendiri bagi memastikan dana mencukupi untuk pengeluaran cek.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram, Sithambaram berkata, Najib gagal untuk mendapatkan penjelasan mengenai sumber wang yang masuk ke dalam akaunnya.

Beliau berkata, pemegang akaun mesti sentiasa berwaspada dan berhati-hati jika mendapati sejumlah wang yang banyak dipindahkan ke dalam akaun bank mereka.

"Tertuduh tidak boleh sewenang-wenangnya mengarahkan orang lain untuk memastikan dana sentiasa ada dalam akaunnya untuk dibelanjakan tanpa mengambil berat mengenai sumbernya.

"Seseorang yang bersikap munasabah dan wajar sudah pasti akan mempersoalkan mengenainya," katanya.

Berita Harian X