Rabu, 3 Jun 2020 | 11:12pm
Polis memohon saksi kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan SUV di Jalan PJS 8/11, Petaling Jaya, Ahad lalu, untuk tampil membantu siasatan. - NSTP/FOTO IHSAN PDRM
Polis memohon saksi kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan SUV di Jalan PJS 8/11, Petaling Jaya, Ahad lalu, untuk tampil membantu siasatan. - NSTP/FOTO IHSAN PDRM

Polis mohon saksi tampil bantu siasatan kemalangan maut

KUALA LUMPUR: Polis memohon saksi kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan PJS 8/11, Petaling Jaya, dekat sini, Ahad lalu, untuk tampil membantu siasatan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1 tengah hari itu, penunggang motosikal terbabit yang juga seorang pelajar kolej universiti swasta berusia 23 tahun dan berasal dari Sandakan, Sabah, disahkan maut di tempat kejadian.

Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal bersendirian di laluan lurus di Jalan PJS 8/11 sebelum sebuah SUV jenis Honda HR-V dikatakan tiba-tiba keluar dari sebuah simpang di situ.

Mangsa dikatakan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian hadapan SUV terbabit sebelum terbabas ke sisi jalan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala serta beberapa bahagian badan, dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Saksi kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis dan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Al-Rassid Borhanuddin, melalui talian 019-990 5570.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X