Khamis, 4 Jun 2020 | 12:30pm

Kes 1MDB: Sambung bicara 29 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, melapangkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula hari ini, di hadapan Hakim Collins Lawrence Sequerah.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib berkata, pembelaan dalam kes SRC International masih berhujah dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd.

"Sehubungan itu, pihak pembelaan meminta mahkamah melapangkan perbicaraan hari ini," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Jun ini untuk perbicaraan kes.

Apabila pendengaran disambung semula, Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas ke atas saksi kesembilan pendakwaan, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Pada prosiding itu, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib hadir ke mahkamah untuk hujahan lisan bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Najib hadir ke mahkamah untuk hujahan lisan bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X