Khamis, 4 Jun 2020 | 4:22pm
Najib hadir ke mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Najib hadir ke mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Najib mangsa 'scam'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak ialah mangsa penipuan beberapa individu termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan beberapa pegawai bank yang tidak jujur.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, berkata kes berprofil tinggi dihadapi anak guamnya menimbulkan persoalan utama bagaimana Najib tidak menyedari keadaan sejumlah besar wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Beliau berkata, kedudukan Najib yang memegang jawatan utama juga membuatkan amat sukar bagi pihak peguam bela menyediakan pembelaan dalam kes terbabit.

"Kebenarannya ialah apa yang benar dalam pembelaan kami kini menjadi sukar untuk mengemuka kes yang terbaik kerana ia menyatakan apa yang benar.

"Anak guam kami ialah mangsa 'scam' dalam beberapa siri salah perwakilan oleh Jho Low, Nik Faisal dan beberapa pegawai bank tidak jujur yang turut serta bersekongkol dengan pengurusan SRC International.

"Amat mudah bagi siapa pun, bahkan mungkin termasuk mahkamah, untuk diperkuatkan dengan kepercayaan bahawa keadaan di persekitaran Najib akan menafikannya pembelaan. Yang sebaliknya berlaku jika beliau seorang individu biasa," katanya.

Muhammad Shafee berkata, pihak pendakwaan mengemuka kesnya dalam konteks bahawa individu yang memegang kuasa tidak boleh tidak menyedari apa yang berlaku terhadap akaun peribadinya.

Beliau sehubungan itu, memohon mahkamah untuk 'membuka minda' yang lapang dalam menimbangkan bukti dan keterangan pihak pembelaan.

Katanya, pihaknya berdepan tugas sukar dalam mengemukakan pembelaan lebih-lebih lagi dalam keadaan persekitaran Najib yang dipenuhi dengan prejudis awam.

Muhammad Shafee turut membacakan penghakiman bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim yang berbunyi; "jika anda terima atau mempercayai penjelasan tertuduh, bebaskan beliau.

"Jika anda tidak menerima atau mempercayai penjelasan tertuduh tetapi tetap menimbulkan keraguan munasabah mengenai kesalahannya, mohon bebaskan beliau.

"Saya rasa ini adalah prinsip yang harus diingat dengan baik. Saya yakin Yang Arif mempunyai pertimbangan yang baik dalam hal ini.

Terdahulu, seorang lagi peguam Najib, Farhan Read berkata, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Najib terbabit dalam rancangan yang dirangka sebelumnya sehingga menyebabkan dana RM42 juta dikeluarkan daripada SRC pada 2014 dan 2015.

Sebaliknya, Farhan berkata, bukti menunjukkan bahawa ia adalah Jho Low selaku dalang yang merancang pemindahan wang itu ke dalam akaun Najib.

Beliau berkata, pemindahan wang RM10 juta yang diarahkan oleh Jho Low ke dalam akaun Najib pada 2015 adalah bagi memastikan cek dikeluarkan tertuduh tidak 'ditendang'.

Katanya, terdapat keterangan oleh pegawai penyiasat bahawa wang RM42 juta bukan berasal daripada dana Kumpulan Wang (Diperbadankan) (KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC International.

"Oleh itu, tidak ada hubungan di antara keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet (untuk membincangkan mengenai jaminan kerajaan untuk pinjaman) yang menyebabkan kepada pinjaman KWAP dan RM42 juta.

"Kami ingin menegaskan bahawa punca sebenar atau kemungkinan RM42 juta tidak dibuktikan... selain keterangan saksi pendakwaan, iaitu bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Afidah Azwa Abdul Aziz, tidak ada bukti yang menunjukkan Datuk Seri Najib bertindak sebagai pengarah bayangan SRC International," katanya.

Berita Harian X