Jumaat, 5 Jun 2020 | 12:04pm

Sudah rompak, paksa buat seks oral pula

DUNGUN: Seorang suri rumah bukan sahaja menanggung kerugian selepas dirompak tetapi turut menjadi pemuas nafsu lelaki yang memecah masuk kediamannya, di sebuah rumah di daerah ini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, suri rumah berusia 30-an itu dipaksa melakukan seks oral oleh perompak bersenjatakan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang tidur bersama anak-anak yang masih kecil di dalam bilik sementara suaminya berada di rumah isteri pertama.

Katanya, mangsa yang baru terlelap dikejutkan dengan bunyi pintu bilik terbuka sebelum ternampak kelibat lelaki yang menutup separuh muka.

"Suspek yang memakai kemeja-T gelap dan berseluar pendek menuju ke arah mangsa yang berada di atas katil sambil memegang sebilah pisau.

"Mangsa dikatakan sempat menepis pisau dipegang suspek ketika lelaki terbabit mengacukan senjata itu ke arahnya sebelum suspek bertindak menarik rambut dan mengheretnya ke ruang tamu.

"Suspek memaksa mangsa mencari duit dan barang-barang berharga miliknya sebelum wanita terbabit menyerahkan RM300.

"Bagaimanapun, selepas mendapatkan wang, suspek dikatakan membuka seluar dan memaksa mangsa membuat seks oral sambil memegang pisau," katanya.

Baharudin berkata, suspek juga dipercayai cuba merogol mangsa, namun gagal kerana wanita itu meronta-ronta minta dilepaskan sebelum lelaki terbabit beredar melalui pintu dapur.

Katanya, mangsa bimbang keselamatan diri dan keluarga membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan Seksyen 392/397 KK kerana melakukan rompakan menggunakan senjata," katanya.

Berita Harian X