Jumaat, 5 Jun 2020 | 12:11pm
Tertuduh terlibat dalam jual beli emas palsu mengaku salah di Mahkamah Majistret Bahau. - Foto NSTP/Abnor Hamizam
Tertuduh terlibat dalam jual beli emas palsu mengaku salah di Mahkamah Majistret Bahau. - Foto NSTP/Abnor Hamizam

12 bulan penjara, dua sebatan kerana menipu

JEMPOL: Akibat menipu seorang warga emas dalam urusan jual beli emas palsu, lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Bahau.

Majistret, Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Muhammad Khairul Nizam Zainal Abidin, 20, dari Batu Kurau, Perak selepas tertuduh mengaku salah, sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada jam 3 petang 17 Mei lalu, bertempat di sebuah rumah di FELDA Palong Tujuh menipu Faridah Md Tahir, 62, dengan memperdayakannya dan dengan curang mendorong warga emas berkenaan menyerahkan harta miliknya iaitu satu pasang subang telinga emas; dua bentuk cincin berbatu mutiara, tiga utas loket emas, satu utas rantai tangan dan satu kerongsang suasa kepada tertuduh.

Oleh yang demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menawarkan kepada warga emas berkenaan pertukaran atau menggandakan barang kemas miliknya kepada yang baharu atau lebih berat.

Tertuduh memberitahu, mempunyai banyak kedai emas di luar negara selain di dalam simpanan tertuduh mempunyai barang kemas.

Terpedaya dengan kata-kata tertuduh, wanita berkenaan menukar barang kemas miliknya dengan tertuduh dan pada 21 dan 26 Mei, menerima satu bentuk cincin belah rotan, seutas rantai tangan, dua utas loket, satu pasang subang serta satu resit pembelian dari ' kedai emas'.

Bagaimanapun, pada 27 Mei lalu apabila anak wanita berkenaan pulang ke rumah, anaknya yang curiga membawa emas berkenaan bagi pemeriksaan di sebuah kedai di Bahau sebelum mendapati ianya palsu.

Kerugian dialami wanita terbabit berjumlah RM6, 000.

Tertuduh turut merayu ringankan hukuman dengan alasan menjaga ibunya yang sedang sakit.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Salwati Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X