Jumaat, 5 Jun 2020 | 12:20pm

Sanjeevan hadapi dua tuduhan berkaitan komunikasi palsu

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Twitter.

Sanjeevan, 36, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Sanjeevan didakwa melalui akaun Twitter @SanjeevanSS secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat menganiayai orang lain, pada 7 April 2020, jam 3.15 petang di Pejabat Komunikasi, Aras 2, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.

Dia turut didakwa melalui akaun Twitter @My_CrimeWatch secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat menganiayai orang lain, pada 17 Mei 2020, jam 8.15 pagi, di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu, masing-masing pada 18 Mac, jam 4.20 petang dan 16 Mei 2020, jam 9.07 malam dan didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz, menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan dilarang membuat penghantaran berkaitan PDRM di laman media sosial miliknya.

Bagaimanapun, Sanjeevan dalam rayuannya menerusi peguam S Preakas, memohon dibenarkan ikat jamin antara RM2,000 hingga RM3,000 dengan alasan mempunyai rekod yang baik kerana pernah dituduh sebelum ini dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang didakwa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula kes.

R Sri Sanjeevan ketika hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan menghina polis di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
R Sri Sanjeevan ketika hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan menghina polis di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X