Jumaat, 5 Jun 2020 | 1:28pm
Najib keluar dari mahkamah selepas selesai hujahan lisan bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Najib keluar dari mahkamah selepas selesai hujahan lisan bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Kes SRC: 28 Julai tentukan nasib Najib

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Datuk Seri Najib Razak disabitkan atau dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, akan ditentukan pada 28 Julai ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu hari ini selepas kedua-dua pihak menutup hujahan masing-masing di akhir kes pembelaan.

Mohd Nazlan berkata, mahkamah sudah mendengar hujahan kedua-dua belah dan membaca hujahan yang panjang dan lengkap

Beliau berkata, mahkamah akan menimbang semua bukti dan keterangan dan akan memutuskan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 182A(1) Kanun Acara Jenayah.

"Kedua-dua pihak menyediakan hujahan yang panjang dan lengkap membabitkan dua ribu muka surat yang akan membantu mahkamah dalam memastikan dan menimbangkan serta memutuskan jika pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Saya berhasrat untuk memberikan penghakiman akhir pada bulan hadapan. Pada 28 Julai ini," katanya.

Pada 11 November tahun lalu, Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ialah peguam utama pihak pembelaan.

Berita Harian X