Jumaat, 5 Jun 2020 | 6:32pm
Najib hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Najib hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Peguam Najib yakin berjaya beri pembelaan terbaik

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak yakin pihaknya mengemukakan hujahan pembelaan yang terbaik dalam menangkis tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding pendengaran hujahan penutup di akhir kes pembelaan oleh kedua-dua belah pihak di Mahkamah Tinggi hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu, bagaimanapun meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) sejurus selesai prosiding.

Terdahulu, Muhammad Shafee dalam hujahannya mempersoalkan sama ada benar dakwaan bahawa anak guamnya menyebabkan pemindahan dana daripada syarikat SRC International Sdn Bhd ke dalam dua syarikat lain sebelum dipindah masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata, keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Nik Faisal Ariff Kamil yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bekas eksekutif kanan itu menafikan Najib mengetahui wang itu berasal daripada SRC.

Muhammad Shafee berkata, pembelaan juga membuktikan bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin menafikan ia adalah tandatangan beliau pada dokumen yang kemudian memindahkan dana daripada SRC kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd dan Putra Perdana Construction Sdn Bhd.

"Keadaan huru-hara ini, adakah ia sengaja dicetuskan oleh SRC dan Ambank?. Siapa dalang di sebalik kegilaan dan langkah ini," katanya.

"Jelasnya, anak guam saya tidak terbabit dengan dana yang dipindahkan oleh dua pengarah...Kami menyatakan ia adalah kegagalan nyata dalam membuktikan pemilikan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah jenayah).

"Kamu sekarang tidak boleh menunding jari kepada anak guam saya," katanya.

Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan juga membuktikan elemen objektif jenayah melampaui sebarang keraguan, bahawa SRC dalam keadaan huru-hara mengenai siapa yang menandatangani dokumen pemindahan wang itu.

Beliau berkata, pihak pendakwaan tidak dapat merungkai keraguan itu, sambil menambah tandatangan yang didakwa diturunkan oleh Nik Faisal pula adalah bukan miliknya.

Menurut peguam itu, hubungan di antara bank dan pelanggan adalah berdasarkan kepada arahan.

"Keadaan huru-hara yang sama berlaku di Ambank di mana mereka menerima 'soft copy' dan bank itu dilihat mencabuli peraturan mandat.

"Pihak bank dan SRC masing-masing berada dalam keadaan keliru," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram berhujah, Najib mempunyai kawalan dan penguasaan terhadap syarikat SRC dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan pegawai awam.

Sithambaram yang menjawab hujahan pembelaan, berkata kes pendakwaan menyatakan tertuduh adalah 'pengarah bayangan' dalam SRC.

Beliau berkata, SRC tidak mengambil sebarang tindakan apabila wang berjumlah RM42 juta dikeluarkan daripada syarikat dan tidak mengemukakan bantahan mengenainya.

"Ini jelas membuktikan ia semua dilakukan dengan pengetahuan dan langkah diambil untuk menyembunyikan kesalahan ini ditunjukkan kepada seluruh dunia," kata Sithambaram ketika menutup hujahannya.

Berita Harian X