Sabtu, 6 Jun 2020 | 12:08am

Pengurus akaun rugi RM67,700 ditipu

LABUAN: Seorang wanita yang juga pengurus akaun kerugian sebanyak RM67,700 selepas terpedaya dengan sindiket dipercayai 'Macau Scam' yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 40 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon dari tiga lelaki yang tidak dikenalinya pada jam 12.30 tengah hari.

'Pegawai bank' terbabit mendakwa ada individu lain menggunakan identiti mangsa untuk memohon kad kredit di sebuah bank.

Selain itu, sindiket berkenaan turut mendakwa hasil semakan mendapati penggunaan kad kredit yang menggunakan nama mangsa sudah melebihi had yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata siasatan awal mendapati, bagi mengemas kini akaun, mangsa diminta mendedahkan butiran diri, nombor akaun, kata laluan dan id akaun kononnya bagi tujuan siasatan.

Bagaimanapun katanya, selepas maklumat akaun diberikan, mangsa kemudiannya mendapati sejumlah wang dari akaun miliknya sudah dipindahkan ke akaun lain yang tidak dikenali.

"Mangsa kemudiannya menyedari ditipu dan terus tampil ke balai polis bagi membuat laporan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Muhamad Farid berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Berita Harian X