Ahad, 7 Jun 2020 | 8:30am

Lima ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol

BUTTERWORTH: Lima lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan, ditahan polis dalam sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan di Kilometer 10.8 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis mengadakan tiga SJR, dari jam 10 malam hingga 2 pagi bagi menjalankan Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di daerah itu.

"Sepanjang operasi itu diadakan, polis mengesan lima lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun, memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan dan ia mendatangkan bahaya kepada pemandu kenderaan lain.

"Oleh itu, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut," katanya yang ditemui selepas menyertai operasi itu, di sini.

Beliau berkata, kelima-lima lelaki itu didapati baharu pulang dari menikmati minuman keras di restoran serta rumah rakan yang berdekatan dan mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Noorzainy, berkata polis turut menahan seorang wanita berusia 31 tahun yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika pemeriksaan dibuat ke atas wanita itu menemui satu kotak rokok yang di dalamnya mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.37 gram.

"Wanita itu terus ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama manakala ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati dia positif dadah," katanya.

Noorzainy (kiri) memeriksa pemandu dalam SJR Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di LLB Raja Uda, Butterworth. - NSTP/Danial Saad
Noorzainy (kiri) memeriksa pemandu dalam SJR Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di LLB Raja Uda, Butterworth. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X