X
Khamis, 18 Jun 2020 | 10:34pm
Bayi lelaki meninggal dunia selepas tidur di rumah pengasuh di Johor Bahru. - Foto hiasan NSTP.
Bayi lelaki meninggal dunia selepas tidur di rumah pengasuh di Johor Bahru. - Foto hiasan NSTP.

Bayi tiga bulan meninggal ketika tidur

JOHOR BAHRU: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia selepas tidur di rumah pengasuhnya di Taman Universiti, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam itu, mangsa didapati tidak sedarkan diri selepas tiga jam diberi susu dan ditidurkan pengasuhnya itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah, berkata bayi lelaki berkenaan dihantar secara harian oleh ibunya ke rumah pengasuh pada hari bekerja.

"Pada hari kejadian, mangsa diberikan susu sebelum ditidurkan pengasuhnya kira-kira jam 12 tengah hari.

"Pada jam 3 petang, pengasuh berkenaan mendapati mangsa tidak sedarkan diri sebelum menghubungi ibu bayi itu.

"Mangsa kemudian dibawa ke klinik kesihatan berhampiran oleh pengasuh serta ibu bapa bayi berkenaan untuk mendapatkan rawatan segera.

"Namun bayi berkenaan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Fariz Ammar berkata, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah, termasuk penderaan ditemui pada mangsa setakat ini.

"Bedah siasat sudah dijalankan hari ini dan polis masih menunggu analisis makmal mengenai punca sebenar kematian bayi berkenaan.

"Hasil bedah siasat awal mendapati tiada kesan susu tersekat di kerongkong atau saluran pernafasan bayi berkenaan, namun kita perlu tunggu hasil analisis lengkap," katanya.

Berita Harian X