Sabtu, 20 Jun 2020 | 1:14pm
Keadaan kereta yang dibakar akibat marah kononnya seorang wanita memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan pasangan kembar cedera parah dalam kemalangan di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor. NSTP/ Ihsan PDRM
Keadaan kereta yang dibakar akibat marah kononnya seorang wanita memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan pasangan kembar cedera parah dalam kemalangan di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor. NSTP/ Ihsan PDRM

Pemandu disangka mabuk, kereta dibakar

TASEK GELUGOR: Seorang peniaga sayur dekat sini bukan sahaja terbabit dalam kemalangan tetapi keretanya turut dibakar penduduk kampung yang mendakwa dia memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata peniaga itu seorang wanita berusia 56 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Bumbung Lima, Kepala Batas selepas selesai menghantar sayur.

Dalam kejadian 9.50 malam itu, dia dikatakan memasuki laluan bertentangan di Jalan Ara Kuda dan bertembung dengan dua buah motosikal yang ditunggang pasangan kembar, Muhd Asri Roslan dan Muhd Azri Roslan, 14.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu wanita itu mengatakan mahu mengelak haiwan yang tiba-tiba berada di hadapannya lalu keretanya masuk ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama datang dua motosikal yang dinaiki adik beradik kembar gagal mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta wanita terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Susulan kemalangan itu, dua remaja berkenaan cedera parah dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut kerana patah kaki kanan, cedera di tangan dan muka.

Noorzainy berkata, wanita itu kemudiannya meninggalkan kereta di lokasi kejadian dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk membuat laporan polis.

Berita kemalangan itu kemudiannya ditularkan di media sosial dengan dakwaan dia memandu dalam keadaan mabuk.

Dakwaan itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen dan penduduk kampung yang kemudiannya bertindak membakar kereta wanita berkenaan.

Noorzainy berkata, perbuatan membakar kereta itu adalah tindakan khianat dan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan sementara kes kemalangan itu disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hasil pemeriksaan dan ujian saringan awal pernafasan menggunakan alat SD2+ ke atas pemandu didapati negatif dan dia bukan memandu di bawah pengaruh alkohol seperti yang digembar gemburkan," katanya.

Noorzainy berkata orang awam tidak sepatutnya mengambil tindakan terburu-buru hingga melanggar undang-undang.

"Polis mendapat laporan bahawa kereta wanita ini dibakar yang mana pelakunya sudah dikenalpasti dan tangkapan akan dilakukan," katanya.

Berita Harian X