Isnin, 22 Jun 2020 | 1:10pm

Bapa sembur racun serangga ke muka bayi

ARAU: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan 20 hari disembur racun serangga oleh bapanya supaya mangsa berhenti menangis, dalam kejadian Jumaat lalu di Taman Pauh Indah, dekat sini.

Suspek, seorang pesawah berusia 39 tahun yang juga bapa kandung mangsa turut menampar muka dan melambung bayi itu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata pihaknya menerima laporan daripada doktor yang merawat mangsa di Bahagian Ibu dan Anak Klinik Kesihatan Arau pada jam 11.30 pagi Jumaat lalu.

"Hasil laporan perubatan mendapati bayi lelaki itu berada dalam keadaan kurang aktif selain bibirnya menjadi kebiruan.

"Mangsa turut mengalami kecederaan pada belakang kepala dan leher selain terdapat kesan kemerahan ditemui pada kepalanya.

"Hasil soal siasat, ibu mangsa mengaku suaminya menyembur racun serangga pada muka dan mencederakan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nanda berkata, susulan itu suspek ditahan dan direman Jumaat lalu dan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah membenarkan tempoh penahanan reman dilanjutkan sehingga Khamis nanti bermula hari ini.

"Mangsa kini dirujuk kepada Pakar Kanak-Kanak Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk pemeriksaan lebih lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

PESAWAH berusia 39 tahun (baju biru putih) direman sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas mencederakan bayi lelakinya yang berusia 2 bulan 20 hari di Taman Pauh Indah pada Jumaat lalu. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman
PESAWAH berusia 39 tahun (baju biru putih) direman sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas mencederakan bayi lelakinya yang berusia 2 bulan 20 hari di Taman Pauh Indah pada Jumaat lalu. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Berita Harian X