X
Jumaat, 26 Jun 2020 | 1:35pm

Penyelia pembalakan dituduh sebabkan kematian tiga beranak

KUALA KANGSAR: Penyelia pembalakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan iaitu memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga beranak, minggu lalu.

Mohd Firdaus Hawari, 33, bagaimanapun mohon dibicarakan atas ketiga-tiga pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu pikap jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran AKV 3989 di bawah pengaruh dadah di Kilometer 74, Jalan Ipoh-Gerik, kira-kira jam 10.20 malam pada 19 Jun lalu sehingga menyebabkan tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya.

Perbuatan itu menyebabkan kematian Nurul Huda Arifin, 31; Abdul Hakim Hashim, 32; dan Adib Aidan Abdul Hakim, 2.

Keadaan Toyota Vios selepas dirempuh pikap Toyota Hilux di KM74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar pada 20 Jun lalu yang menyebabkan tiga beranak maut. - Foto fail ihsan Pembaca (FB)

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam, Hazril Azam Abdul Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang minimum berikutan anak guamnya itu menyara empat anak yang masih kecil dengan pendapatan RM2,300 sebulan, selain isteri yang tidak bekerja dan sedang mengandung.

Rohaida kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan serta menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Penyelia pembalakan, Mohd Firdaus Hawari, 33, dibawa keluar dari kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga beranak, minggu lalu. - Foto NSTP/ Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Berita Harian X