Jumaat, 26 Jun 2020 | 1:52pm

Lelaki pukul anak kena penjara 4 tahun

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas tertuduh mengaku salah menganiayai anak kandungnya sendiri secara fizikal sehingga menyebabkan kecederaan.

R Kalidassan, 31, dituduh menganiayai anak kandung perempuannya yang berusia lapan tahun ketika itu dengan cara memukul menggunakan tongkat rotan sehingga menyebabkan kecederaan di kepala serta tangan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Veerasamy, Sungai Siput kira-kira 1.20 tengah hari pada 28 Mac lalu yang melanggar peruntukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul mangsa berkali-kali sehingga kepala mangsa berlumuran darah dan menerima enam jahitan di kepala, selain bengkak di kepala dan siku kanan.

Tindakan itu dilakukan selepas tertuduh berang dengan kelakuan mangsa yang mengeluarkan kata kesat ketika bermain-main dengan beberapa adik beradik lain.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh sebutan pertama kes itu iaitu pada 12 Jun lalu.

R Kalidassan, 31, (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah menganiayai anak perempuan secara fizikal sehingga menyebabkan kecederaan. - Foto NSTP/ Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
R Kalidassan, 31, (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah menganiayai anak perempuan secara fizikal sehingga menyebabkan kecederaan. - Foto NSTP/ Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X