Sabtu, 27 Jun 2020 | 4:44pm

Pesara polis cedera, kereta pemandu mabuk rempuh kedai makan

KUALA LUMPUR: Seorang pesara polis cedera selepas sebuah kedai makan dekat Lorong Perak, Taman Melawati di sini, dirempuh pemandu kereta yang disyaki mabuk, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, seorang pelanggan yang juga pesara polis berusia 50-an terbabit, cedera ringan di muka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Azam Ismail, berkata suspek yang memandu kereta jenis Perodua Myvi turut merempuh dua buah kereta yang berada berhampiran lokasi.

"Suspek berusia 42 tahun yang bekerja sebagai jurutera itu sudah pun ditahan dan pemeriksaan mendapati tahap kandungan alkohol suspek melebihi had yang dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek direman empat hari hingga 30 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkaitan diminta menghubungi Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim ditalian 03-92740112 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Harian X