Ahad, 28 Jun 2020 | 2:54pm
Perbuatan khianat dipercayai menjadi punca sebuah kereta mewah terbakar dalam kejadian di tempat parkir kereta khas pusat membeli belah di Jalan Bukit Bintang di sini, awal pagi tadi. - Foto NSTP/Ihsan PDRM
Perbuatan khianat dipercayai menjadi punca sebuah kereta mewah terbakar dalam kejadian di tempat parkir kereta khas pusat membeli belah di Jalan Bukit Bintang di sini, awal pagi tadi. - Foto NSTP/Ihsan PDRM

Perbuatan khianat disyaki punca kereta mewah terbakar

KUALA LUMPUR: Perbuatan khianat dipercayai menjadi punca sebuah kereta mewah terbakar dalam kejadian di tempat parkir kereta khas, pusat membeli belah di Jalan Bukit Bintang di sini, awal pagi tadi.

Sumber memaklumkan, siasatan awal polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan mendapati, dua lelaki menaiki sebuah motosikal mencurah cecair dipercayai petrol ke kenderaan terbabit.

"Hasil semakan rakaman CCTV mendapati, dua lelaki memakai topi keledar dan topeng muka mencurah cecair daripada satu botol di bonet hadapan kenderaan terbabit dan membakar kenderaan itu.

"Pasukan forensik polis dan bomba yang menjalankan siasatan menemui satu botol air mineral kecil berisi baki cecair disyaki petrol serta sekotak mancis berhampiran lokasi kenderaan itu terbakar," kata sumber.

Kata sumber lagi, semakan mendapati kereta mewah berwarna kuning itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat swasta berpangkalan di Langkawi milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.

Pemilik kenderaan dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM1 juta akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah ketika dihubungi BH hari ini, memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat dan siasatan sedang dijalankan.

Terdahulu, BH melaporkan Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 2.40 pagi menghantar dua jentera (FRT) serta sebuah Emergency Medical Rescue Service (EMRS) ke lokasi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rozi Jusoh, berkata seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dan BBP Tun Razak menjalankan kerja pemadaman api.

Bomba mengambil masa beberapa minit untuk memadamkan kebakaran dan kemusnahan membabitkan 40 peratus di bahagian enjin kenderaan mewah itu.

Berita Harian X