Isnin, 29 Jun 2020 | 1:49pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Hina agama Islam, penyelia didenda RM6,000

KUALA LUMPUR: Akibat menghantar komunikasi jelik dan menghina agama Islam menerusi akaun Facebook, seorang penyelia kilang perabot didenda RM6,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Koh Teen Ern, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Tertuduh didakwa memuat naik satu hantaran di ruangan komen yang menghina agama Islam menggunakan akaun Facebook miliknya iaitu 'Tim Koh' dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara jam 2.47 pagi, 20 Disember 2019 hingga 9.56 pagi, 21 Disember 2019 mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Wong Chiang Kiat merayu hukuman denda minimum, namun Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada OKS kerana tindakannya mencetuskan kemarahan masyarakat.

"Hukuman berbentuk pengajaran boleh menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia supaya lebih sensitif dan berhati-hati menyuarakan pendapat di media sosial.

"Ribuan orang dapat melihat dan mengakses hantaran OKS itu," " katanya.

Tertuduh membayar denda terbabit. – BERNAMA

Berita Harian X