Selasa, 30 Jun 2020 | 7:54am

"Mereka sangat teruja nak ke laut"

BACHOK: "Mereka kelihatan teruja, semangat nak turun ke laut, malah dah buat persiapan sejak seminggu lalu untuk memancing dan mencandat sotong," kata Sufri Daud,60, abang kepada Harun Daud, 58 yang masih hilang di laut bersama tiga pemancing malam tadi.

Sufri berkata, daripada 20 pemancing yang menaiki bot berkenaan, separuh daripada mereka adalah ahli keluarganya yang tinggal di Kampung Padang Tok La, Pasir Mas.

Malah, dia juga sepatutnya menyertai kumpulan itu namun membatalkan hasrat kerana memikirkan kesihatan diri.

"Adik (Harun) pun ada melahirkan hasrat tak mahu pergi (turun ke laut) sebab ada anaknya balik ke kampung, tapi dipujuk rakan-rakan dan dia teruskan niat nak pergi memancing dan candat sotong.

"Setahu saya, adik jarang turun ke laut, kalau ada pun dua kali setahun sahaja, kalau memancing pun di kawasan kuala berdekatan. Rakan-rakan yang ikut kumpulan itu juga kebanyakannya pertama kali ke laut," katanya ketika ditemui di Pengkalan Petah, di sini, awal pagi tadi.

Sufri berkata, dia juga sempat makan tengah hari bersama dua anak sepupunya, iaitu Muhammad Zaki Muhammad Nordin,32 dan Mohd Syafizan Daud,40-an yang meninggal dunia dalam kejadian itu sebelum mereka berlepas ke laut di jeti Kuala Besar pada 3 petang.

Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa 20 pemancing berkenaan pada 12.30 tengah malam apabila dihubungi anak saudara.

"Mereka rancang nak berada di laut semalaman dan sepatutnya pulang pagi ini. Keluarga reda dengan kejadian yang berlaku dan berharap adik dan tiga lagi mangsa dijumpai," katanya.

Dalam kejadian 8.30 malam tadi, empat pemancing maut, empat lagi hilang dan 12 mangsa selamat apabila bot rekreasi laut yang membawa pelancong terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin, di sini.

Mangsa yang maut adalah Mohamad Zaki; Mohd Syafizan; Wan Aminuddin Wan Hussin, 60-an dan juragan bot warganegara Thailand dikenali dengan nama Pokta,50-an.

Mangsa yang hilang pula termasuk Harun, Che Wadi Bakar,40an; Arman Ismail,43 dan Syafiq Abdul Halim,30.

Berita berkaitan

4 maut, 4 hilang bot bawa pemancing terbalik

Anggota Pertahanan Awan (APM) bersama Polis mengangkat mayat mangsa kejadian empat pemancing maut selepas bot dinaiki mereka terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota Pertahanan Awan (APM) bersama Polis mengangkat mayat mangsa kejadian empat pemancing maut selepas bot dinaiki mereka terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X