Selasa, 30 Jun 2020 | 8:40am
Anggota penguat kuasa mengangkat mayat mangsa kejadian empat pemancing maut selepas bot dinaiki mereka terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota penguat kuasa mengangkat mayat mangsa kejadian empat pemancing maut selepas bot dinaiki mereka terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Operasi cari 4 pemancing hilang diteruskan

BACHOK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi pemancing yang hilang dalam kejadian bot terbalik akibat dipukul ribut dan ombak besar berdekatan perairan Kuala Kemasin, malam tadi diteruskan pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah, berkata pihaknya percaya mangsa yang masih hilang terperangkap di dalam rumah bot yang dinaiki mereka.

Katanya, bot berkenaan dipercayai hanyut kira-kira 15 batu nautika daripada Jeti Perikanan Kemasin yang menjadi lokasi mangsa yang selamat dan meninggal dunia ditemui, awal pagi tadi.

"Operasi pagi ini akan dilaksanakan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan menggunakan kaedah selaman.

"Bilik operasi kita akan buka sehingga operasi menyelamat selesai," katanya ketika ditemui di Pangkalan Kemasin, di sini, hari ini.

Katanya, operasi SAR turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata, pihaknya akan membuat selaman di bawah bot yang dinaiki mereka kerana dipercayai kemungkinan mangsa yang masih hilang berada di kawasan sekitar bot itu.

Katanya, bot berkenaan tidak tenggelam sebaliknya hanyut di laut namun sudah dihimpit bot lain bagi mengawal pergerakan bot berkenaan.

"Bot yang digunakan adalah jenis bot bubu jadi berisiko untuk kita buat selaman malam tadi, jadi hari ini operasi selaman akan dijalankan bagi mencari mangsa," katanya.

Malam tadi, sebuah bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan Kuala Kemasin, Bachok jam 8.30 malam tadi. Kejadian itu meragut empat nyawa manakala 12 lagi selamat dan empat lagi pula masih hilang.

Berita berkaitan

4 maut, 4 hilang bot bawa pemancing terbalik

"Mereka sangat teruja nak ke laut"

Berita Harian X