Selasa, 30 Jun 2020 | 10:00am
Ahli keluarga menunggu yang menunggu mayat mangsa maut selepas bot yang dinaiki terbalik dalam kejadian di perairan Bachok di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ahli keluarga menunggu yang menunggu mayat mangsa maut selepas bot yang dinaiki terbalik dalam kejadian di perairan Bachok di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR

Keterujaan berakhir tragedi

KOTA BHARU: Keterujaan dapat kembali ke laut selepas sekian lama tidak dibenarkan berbuat demikian susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), rupanya berakhir dengan tragedi buat Wan Aminuddin Wan Hussin, 63.

Adiknya, Wan Mohd Tajuddin, 43 berkata, abangnya yang menguruskan aktiviti mencandat sotong malam tadi disebabkan pengalamannya di laut selain mengenali pemilik bot.

"Untuk aktiviti mencandat sotong kali ini, abang saya yang menguruskannya memandangkan dia berpengalaman dan mengenali pemilik bot.

"Abang sangat teruja untuk keluar mencandat sotong kali ini selepas sekian lama tidak dibenarkan keluar sepanjang PKP, tak sangka keterujaannya bertukar tragedi," katanya.

Wan Mohd Tajuddin berkata, abang sulungnya itu keluar rumah selepas solat Zuhur dan sempat dua kali berpatah balik ke rumah gara-gara tertinggal telefon dan rokok.

"Saya dan abang tinggal bersama-sama selepas abang kematian isteri 23 tahun lalu. Kami sempat berborak dan saya melihat Muhammad Zaki Mohd Nordin, 32, yang turut terkorban dalam kejadian itu datang ke rumah mengambil abang.

"Keterujaan abang untuk mencandat sotong kali ini lain macam, mungkin kerana sudah beberapa bulan tidak dibenarkan ke laut, malah aktiviti kali ini disertai rakan-rakan sekampung," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Dalam kejadian jam 8.30 malam tadi, bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong terbalik dibadai ribut akibat ombak besar di kawasan perairan Kuala Kemasin, Bachok. Kejadian itu meragut empat nyawa manakala 12 lagi selamat manakala empat lagi masih hilang.

Mengulas lanjut katanya, dia mengetahui kejadian itu jam 2 pagi sebelum bergegas ke HRPZ II memandangkan mayat abangnya antara yang terawal ditemui.

"Walaupun sedih dengan pemergian mengejut ini, kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku. Abang saya meninggalkan tiga anak," katanya.

Berita Harian X